Followers

Mat Rempit



Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit.

Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.


Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.


Mereka beraksi pada waktu senja , malam atau selepas ibu bapa pulang daripada bekerja. Remaja ini mencuri kunci motosikal atau memberi alasan membeli barang di kedai berdekatan atau pergi ke pasar malam. Ibu bapa tidak sedar anaknya boleh pergi jauh sehingga ke Kuala Lumpur.


Mereka beraksi di celah-celah kereta yang penuh sesak di Kuala Lumpur untuk mendapat perhatian orang ramai. Di Kuala Lumpur jalan yang popular ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang. Lebuh raya Lekas di Semenyih yang belum siap sepenuhnya telah mengorbankan beberapa remaja belasan tahun.


INDIVIDU YANG TERLIBAT DENGAN GEJALA INI
1. Remaja
2. Remaja Bawah Umur dan Masih Bersekolah




PUNCA-PUNCA
1. perasaan ingin mencuba
2. tiada kawalan atau perhatian dari ibu bapa
3. kurang kasih sayang keluarga
4. pengaruh kawan-kawan
5. mengisi masa lapang/senggang
6. mendapat kepuasan ekstrem untuk menunjuk-nunjuk
7. mendapatkan habuan atau ganjaran
8. gaya hidup dan taraf pendidikan yang rendah
9. pengaruh filem atau cerita
10. tanda protes



MAT REMPIT JUGA MELAKUKAN JENAYAH SEPERTI:
1. kegiatan gengster
2. rompak berkumpulan
3. pergaduhan
4. laku musnah
5. membunuh
6. kecurian
7. buli
8. rogol
9. seks bebas
10. pengambilan dadah dan alkohol


HUKUMAN
Lumba Haram 
Bil 1.
Kesalahan Menaja/menyertai lumba haram.
Seksyen/ Kaedah Kesalahan  Seksyen 81
Seksyen/ Kaedah Hukuman  Seksyen 81(2)
Seksyen 81(3)
Kadar Kompaun  Mahkamah
Kadar Mahkamah  Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya. Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara dan lesen digantung satu bulan. Sabitan kedua denda RM 5000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya dan lesen digantung selama 3 tahun.



KESIMPULAN
Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan ibu bapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Selain mengenakan tindakan tegas ke atas mat rempit, tindakan yang sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga boleh membantu untuk menangani masalah ini, kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini dari menjadi lebih buruk lagi. aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan untuk mencapai matlamat menangani gejala merempit. Apa sekalipun, yang pasti, masalah ini kini kian meruncing dan kesepaduan semua pihak adalah merupakan kunci yang akan dapat menyelesaikan segala permasalahan ini.



KERATAN-KERATAN ARTIKEL 


Rempit, ragut: Perbincangan segera dibuat - UTUSAN MALAYSIA 07/05/2009


BATU PAHAT 6 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan segera bagi menangani gejala ragut dan mat rempit yang semakin berleluasa ketika ini.

Timbalan Menterinya, Jelaing Mersat berkata, pihaknya juga akan mendapat pandangan daripada beberapa pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian membendung gejala negatif itu.

Beliau berkata, sebagai permulaan, langkah di peringkat kementerian sudah dimulakan apabila satu mesyuarat telah dijalankan untuk membincangkan gejala itu pagi ini.

''Saya tidak menafikan gejala ragut dan mat rempit ini semakin serius, tetapi sebelum kementerian membuat rumusan pelaksanaan pencegahannya, pandangan semua pihak wajar dihargai.

''Apa yang pasti, pengumuman rumusan itu akan dibuat dalam masa terdekat ini berdasarkan satu rangka waktu yang ditetapkan oleh menteri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa ragut, Jamilah Selamat, 31, yang meninggal dunia pagi semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas koma selama dua hari akibat diragut pada Ahad lalu.






MELAKA 24 Sept. - Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, yang sering dipenuhi ratusan golongan samseng jalanan setiap hujung minggu, bertukar kecoh apabila sepasukan polis membuat operasi dan kepungan malam tadi.

Kepungan dilakukan pukul 2 pagi selepas pasukan polis membuat risikan di lebuh raya itu pukul 10 malam.

Berikutan itu, sebanyak 330 motosikal dan 38 kereta ditahan untuk pemeriksaan.
Serbuan dilakukan oleh Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Turut membantu membuat kepungan ialah pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan.

Menurut Pegawai Operasi Unit Khas Cawangan Trafik Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit, pihaknya membuat penutupan jalan masuk dan keluar lebuh raya dan memerangkap golongan itu.

"Samseng jalanan mula menguasai jalan dari Simpang Bukit Piatu hingga ke jejantas Semabok sejauh lebih satu kilometer sebelum kepungan dilakukan pukul 2 pagi.

"Lebih 500 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk yang menjadi penonton kemudian dibawa di IPD Melaka Tengah untuk pemeriksaan," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan menahan 38 kereta bercermin gelap termasuk dua buah BMW dan sebuah Porsche.

Katanya, sebanyak 51 saman dikeluarkan selain menyita 15 motosikal dan tiga kereta kerana tamat cukai jalan tamat, selain pemandu serta penunggang yang tidak mempunyai lesen.

"JPJ yang terdiri dari Ibu Pejabat Putrajaya dan Cawangan Melaka telah mengeluarkan 40 notis arah periksa semula selain menyita dua motosikal dan sebuah kereta," katanya kepadaMingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota narkotik yang membuat ujian air kencing menahan seorang remaja kerana didapati positif ganja. Selain itu, tambahnya, polis berjaya mengesan 10 waran tangkap terhadap mereka yang diperiksa selain menahan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.

"Ada yang membayar saman serta merta untuk membawa pulang kenderaan masing-masing," katanya.







IPOH: Polis menahan 59 remaja dan belia serta merampas 44 motosikal termasuk tiga motosikal yang ditinggalkan penunggangnya yang lari lintang-pukang selepas terserempak dengan sekatan jalan raya polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Silibin, di sini awal, pagi semalam.


Operasi selama tiga jam bermula dari jam 2 hingga 5 pagi itu turut mengeluarkan 185 saman terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab, berkata semua mereka yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun itu kemudian diarahkan menyorong motosikal masing-masing dari kawasan sekatan jalan raya di Jalan Silibin ke depo simpanan kenderaan trafik di Jalan Chamberlain sejauh kira-kira lima kilometer. 

“Semua mereka yang dipercayai terbabit dengan kegiatan lumba haram dan kegiatan merempit itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil,” katanya di sini semalam. 

Beliau berkata, semua motosikal terbabit bagaimanapun ditahan untuk semakan rekod bagi mengenal pasti sama ada terdapat motosikal curi atau dilakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Katanya, polis juga sedang mengesan pemilik tiga motosikal yang ditinggalkan oleh penunggangnya berhampiran kawasan sekatan jalan raya terbabit.




NIBONG TEBAL, Seorang lelaki yang pada awalnya disangka maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Paboi, Bukit Tambun di sini, akhirnya didapati mati dibunuh dalam kereta yang dipandunya dalam satu kejadian awal pagi semalam.

Lim Gim Beng, 52, dari Taman Alma, Bukit Mertajam ditemui mati dalam keadaan terlentang di luar kereta Proton Saga Aeroback putih dipercayai dihentak dengan batu di kepalanya dalam kejadian jam 4 pagi itu.


Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata, sebelum kejadian itu mangsa dikatakan terbabit dalam kemalangan kecil sebelum dikejar seseorang lelaki sejauh 15 kilometer. 

“Selepas kemalangan pertama di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Panchor, suspek mengarahkan Lim turun dari kereta tetapi mangsa enggan dan terus melarikan diri. 

“Suspek kemudian mengejarnya sebelum kereta dinaiki mangsa terbabas di tapak pembinaan. Kedua-duanya bergaduh sebelum suspek disyaki mengambil batu dan menghentak kepala mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Beliau berkata, polis menerima panggilan dari orang awam memaklumkan terdapat kemalangan yang menyebabkan pemandunya mati di tempat kejadian, kira-kira jam 4.10 pagi. Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat tiga kesan pukulan di belakang kepala sebelah kiri mangsa yang dipercayai bukan akibat kemalangan. 

Shafien berkata, siasatan polis di tempat kejadian menemui seketul batu dengan kesan darah berhampiran kereta, dipercayai digunakan sebagai senjata ketika menghentak mangsa. 

“Polis turut menemui satu plat kereta tercicir di tempat kejadian dan geselan di kereta mangsa selain kesan brek di jalan raya,” katanya. 

Beliau berkata, berikutan penemuan plat kereta itu, polis kemudian menjejaki pemiliknya dan menahan suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kerani di syarikat pengangkutan. 

"Suspek yang mengaku mengambil minuman keras sebelum kemalangan itu mempunyai satu rekod kesalahan jenayah membabitkan judi,” katanya. 

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.



KUALA TERENGGANU - Gara-gara terlalu takut ditahan pihak berkuasa kerana disyaki tidak memiliki lesen memandu, seorang remaja nekad meninggalkan motosikal Honda EX5 miliknya di bahu jalan, dalam satu operasi Ops Lejang/Kesan/Ops Samseng Jalanan.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi itu, remaja lingkungan 20-an dan berasal dari bandar raya ini, sanggup meninggalkan motosikalnya sejurus bertembung dengan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Kecil di sini.
Sinar Harian difahamkan, pemeriksaan ke atas motosikal berkenaan mendapati ia mempunyai cukai jalan yang masih aktif namun berkemungkinan remaja berkenaan bertindak sedemikian disebabkan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam menjelaskan, sebanyak 35 saman dikeluarkan membabitkan 36 kesalahan termasuk tidak mempunyai lesan memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada cermin sisi.
Menurutnya, selain tiga waran tangkap trafik dikeluarkan, sebanyak 650 kompaun turut dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu yang diketuai Inspektor Zainon Abidin Ismail.



KOTA BHARU- Sebanyak 49 motosikal diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, petang kelmarin.

Dalam operasi yang bermula jam 6 petang hingga 8.30 malam itu, polis mengeluarkan 38 saman melibatkan 68 kesalahan terhadap 49 penunggang motosikal terlibat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, daripada jumlah motosikal yang diperiksa, 17 daripadanya ditahan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu (23 saman); tiada perlindungan insurans (17); nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (7); tidak mempamerkan P atau L (7); tiada cukai jalan (7); tiada cermin sisi (5) dan halangan galangan (1).

Katanya, kesemua ditahan berusia lingkungan antara 15 dan 26 tahun yang kebanyakan mereka adalah pelajar dan bekerja sendiri.

“Ketika ditahan, pelbagai alasan diberikan termasuk merayu kepada anggota bertugas supaya tidak menahan mereka kerana bimbang dimarahi ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, sebahagian mereka yang ditahan berasal dari Tumpat dan Pasir Mas dengan alasannya keluar minum bersama kawan.

Katanya, polis sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras gejala tidak sihat itu terutama di kawasan lapangan terbang yang menjadi tumpuan mereka setiap hujung minggu.
”Kompaun akan dikenakan antara RM70 hingga 300 dan selagi kompaun tidak dijelaskan, kita tidak akan membenarkan motosikal dituntut,” katanya.

1 comment: